Tuesday, July 31, 2018

IMAM SYAFIE BENCI KENDURI ARWAH


Oleh USTAZ RASUL DAHRI


(Semoga Allah memberi berkat kepada Ustaz Rasul Dahri dan keluarganya)

Majlis kenduri arwah lebih dikenali dengan berkumpul beramai-ramai dengan hidangan jamuan (makanan) di rumah si Mati.  Kebiasaannya diadakan sama ada pada hari kematian, dihari kedua, ketiga, ketujuh, keempat puluh, keseratus, setahun dan lebih dari itu bagi mereka yang fanatik kepada kepercayaan ini atau kepada si Mati.  Malangnya mereka yang mengerjakan perbuatan ini tidak menyedari bahawa terdapat banyak fatwa-fatwa dari Imam Syafie rahimahullah dan para ulama besar dari kalangan yang bermazhab Syafie telah mengharamkan dan membid’ahkan perbuatan atau amalan yang menjadi tajuk perbincangan dalam tulisan ini.

Di dalam kitab (اعانة الطالبين) juz 2. hlm. 146, tercatit pengharaman Imam Syafie rahimahullah tentang perkara yang disebutkan di atas sebagaimana ketegasan beliau dalam fatwanya:


وَيَكْرَهُ اتِّخَاذُ الطَّعَامِ فِى الْيَوْمِ اْلاَوَّلِ وَالثَّالِث وَبَعْدَ اْلاُسْبُوْعِ وَنَقْلُ الطَّعَامِ اِلَى الْقُبُوْرِ

“Dan dilarang (ditegah/makruh) menyediakan makanan pada hari pertama kematian, hari ketiga dan seterusnnya sesudah seminggu.  Dilarang juga membawa makanan ke kuburan”.

Imam Syafie dan jumhur ulama-ulama besar (ائمة العلماء الشافعية) yang berpegang kepada mazhab Syafie, dengan berlandaskan kepada hadis-hadis sahih, mereka memfatwakan bahawa yang sewajarnya menyediakan makanan untuk keluarga si Mati adalah jiran, kerabat si Mati atau orang yang datang menziarahi mayat, bukan keluarga (ahli si Mati) sebagaimana fatwa Imam Syafie:
وَاُحِبُّ لِجِيْرَانِ الْمَيِّتِ اَوْذِيْ قَرَابَتِهِ اَنْ يَعْمَلُوْا لاَهْلِ الْمَيِّتِ فِىْ يَوْمِ يَمُوْتُ وَلَيْلَتِهِ طَعَامًا مَا يُشْبِعُهُمْ وَاِنَّ ذَلِكَ سُنَّةٌ.

“Aku suka kalau jiran si Mati atau saudara mara si Mati menyediakan makanan untuk keluarga si Mati pada hari kematian dan malamnya sehingga mengenyangkan mereka.  Sesungguhnya itulah amalan yang sunnah”.

Fatwa Imam Syafie di atas ini adalah berdasarkan hadis sahih:
قَالَ عَبْدُ اللهِ بْنِ جَعْفَرَ : لَمَّا جَاءَ نَعْيُ جَعْفَرِ حِيْنَ قُتِلَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اِصْنَعُوْا لآلِ جَعْفَرِ طَعَامًا فَقَدْ اَتَاهُمْ مَايُشْغِلُهُمْ . (حسنه الترمزى وصححه الحاكم)

 “Abdullah bin Ja’far berkata: Ketika tersebar tentang berita terbunuhnya Ja’far, Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:  Hendaklah kamu menyediakan makanan untuk keluarga Ja’far, mereka telah ditimpa keadaan yang menyebukkan (kesusahan)”. 
Dihasankan oleh at-Turmizi dan di sahihkan oleh al-Hakim.

Menurut fatwa Imam Syafie, adalah haram mengadakan kenduri arwah dengan menikmati hidangan di rumah si Mati, terutama jika si Mati termasuk keluarga yang miskin, menanggung beban hutang, meninggalkan anak-anak yatim yang masih kecil dan waris si Mati mempunyai tanggungan perbelanjaan yang besar dan ramai.  Tentunya tidak dipertikaikan bahawa makan harta anak-anak yatim hukumnya haram.  Telah dinyatakan juga di dalam kitab (اعانة الطالبين) jld. 2. hlm. 146:
وَقَالَ اَيْضًأ : وَيَكْرَهُ الضِّيَافَةُ مِنَ الطَّعَامِ مِنْ اَهْلِ الْمَيِّتِ لاَنَّهُ شَرَعَ فِى السُّرُوْرِ وَهِيَ بِدْعَةٌ

“Imam Syafie berkata lagi:  Dibenci bertetamu dengan persiapan makanan yang disediakan oleh ahli si Mati kerana ia adalah sesuatu yang keji dan ia adalah bid’ah”. 
Seterusnya di dalam kitab (اعانة الطالبين)  juz. 2. hlm. 146 – 147, Imam Syafie rahimahullah berfatwa lagi:
وِمِنَ الْبِدَعِ الْمُنْكَرَةِ الْمَكْرُوْهِ فَعْلُهُ مَا يَفْعَلُ النَّاسُ مِنَ الْوَحْشَةِ وَالْجَمْعِ وَاْلاَرْبِعِيْنَ بَلْ كَلُّ ذَلِكَ حَرَامٌ

“Dan antara bid’ah yang mungkar ialah kebiasaan orang yang melahirkan rasa kesedihannya sambil berkumpul beramai-ramai melalui upacara (kenduri arwah) dihari keempat puluh (empat pulu harinya) pada hal semuanya ini adalah haram”.

Ini bermakna mengadakan kenduri arwah (termasuk tahlilan dan yasinan beramai-ramai) dihari pertama kematian, dihari ketiga, dihari ketujuh, dihari keempat puluh, dihari keseratus, setelah setahun kematian dan dihari-hari seterusnya sebagaimana yang diamalkan oleh masyarakat Islam sekarang adalah perbuatan haram dan bid’ah menurut fatwa Imam Syafie.  Oleh itu, mereka yang mendakwa bermazhab Syafie sewajarnya menghentikan perbuatan yang haram dan bid’ah ini sebagai mematuhi wasiat imam yang agung ini.
Seterusnya terdapat dalam kitab yang sama (اعانة الطالبين) juz 2. hlm. 145-146, Mufti yang bermazhab Syafie al-Allamah Ahmad Zaini bin Dahlanrahimahullah menukil fatwa Imam Syafie yang menghukum bid’ah dan mengharamkan kenduri arwah:
وَلاَ شَكَّ اَنَّ مَنْعَ النَّاسِ مِنْ هَذِهِ الْبِدْعَةِ الْمُنْكَرَةِ فِيْهِ اِحْيَاءٌ لِلسُّنَّةِ وَاِمَاتَةٌ لِلْبِدْعَةِ وَفَتْحٌ لِكَثِيْرٍ مِنْ اَبْوَابِ الْخَيْرِ وَغَلْقٌ لِكَثِيْرٍ مِنْ اَبْوَابِ الشَّرِّ ، فَاِنَّ النَّاسَ يَتَكَلَّفُوْنَ تَكَلُّفًا كَثِيْرًا يُؤَدِّيْ اِلَى اَنْ يَكُوْنَ ذَلِكَ الصُّنْعُ مُحَرَّمًا .

“Dan tidak boleh diragukan lagi bahawa melarang (mencegah) manusia dari perbuatan bid’ah yang mungkar demi untuk menghidupkan sunnah dan mematikan (menghapuskan) bid’ah, membuka banyak pintu-pintu kebaikan dan menutup pintu-pintu keburukan dan (kalau dibiarkan bid’ah berterusan) orang-orang (awam) akan terdedah (kepada kejahatan) sehingga memaksa diri mereka melakukan perkara yang haram”.
Kenduri arwah atau lebih dikenali dewasa ini sebagai majlis tahlilan, selamatan atau yasinan, ia dilakukan juga di perkuburan terutama dihari khaul .(خول)  Amalan ini termasuk perbuatan yang amat dibenci, ditegah, diharamkan dan dibid’ahkan oleh Imam Syafie rahimahullah sebagaimana yang telah ditegaskan oleh beliau:
مَا  يَفْعَلُهُ النَّاسُ مِنَ اْلاِجْتَمَاعِ عِنْدَ اَهْلِ الْمَيِّتِ وَصُنْعِ الطَّعَامِ مِنَ الْبِدَعِ الْمُنْكَرَةِ

“Apa yang diamalkan oleh manusia dengan berkumpul dirumah keluarga si mati dan menyediakan makanan adalah termasuk perbuatan bid’ah yang mungkar”. Lihat: اعانة الطالبين juz 2 hlm. 145.
Di dalam kitab fikh (حاشية القليوبي) juz. 1 hlm. 353 atau di kitab  قليوبى - عميرة) -(حاشيتان  juz. 1 hlm. 414 dapat dinukil ketegasan Imam ar-Ramlirahimahullah yang mana beliau berkata:
قَالَ شَيْخُنَا الرَّمْلِى : وَمِنَ الْبِدَعِ الْمُنْكَرَةِ الْمَكْرُوْهِ فِعْلُهَا كَمَا فِى الرَّوْضَةِ مَا يَفْعَلُهُ النَّاسُ مِمَّا يُسَمَّى الْكِفَارَةَ وَمِنْ صُنْعِ طَعَامِ للاِجْتَمَاعِ عَلَيْهِ قَبْلَ الْمَوْتِ اَوْبَعِدَهُ وَمِنَ الذَّبْحِ عَلَى الْقُبُوْرِ ، بَلْ كُلُّ ذَلِكَ حَرَامٌ اِنْ كَانَ مِنْ مَالٍ مَحْجُوْرٍ وَلَوْ مِنَ التَّركَةِ ، اَوْ مِنْ مَالِ مَيِّتٍ عَلَيْهِ دَيْنٌ وَتَرَتَّبَ عَلَيْهِ ضَرَرٌ اَوْ نَحْوُ ذَلِكَ.

 “Telah berkata Syeikh kita ar-Ramli:  Antara perbuatan bid’ah yang mungkar jika dikerjakan ialah sebagaimana yang dijelaskan di dalam kitab “Ar-Raudah” iaitu mengerjakan amalan yang disebut “kaffarah” secara menghidangkan makanan agar dapat berkumpul di rumah si Mati sama sebelum atau sesudah kematian, termasuklah (bid’ah yang mungkar) penyembelihan untuk si Mati, malah yang demikian itu semuanya haram terutama jika sekiranya dari harta yang masih dipersengketakan walau sudah ditinggalkan oleh si Mati atau harta yang masih dalam hutang (belum dilunas) atau seumpamanya”.

Di dalam kitab (الفقه على المذاهب الاربعة)  jld.1 hlm. 539, ada dijelaskan bahawa:
وَمِنَ الْبِدَعِ الْمَكْرُوْهَةِ مَا يَفْعَلُ الآن مِنْ ذَبْحِ الذَّبَائِحَ عِنْدَ خُرُوْجِ الْمَيِّتِ اَوْ عِنْدَ الْقَبْرِ وَاِعْدَادِ الطَّعَامِ مِمَّنْ يَجْتَمِعُ لِتَّعْزِيَةِ .

 “Termasuk bid’ah yang dibenci ialah apa yang menjadi amalan orang sekarang, iaitu menyembelih beberapa sembelihan ketika si Mati telah keluar dari rumah (telah dikebumikan).  Ada yang melakukan sehingga kekuburan atau menyediakan makanan kepada sesiapa yang datang berkumpul untuk takziyah”.
Kenduri arwah pada hakikatnya lebih merupakan tradisi dan kepercayaan untuk mengirim pahala bacaan fatihah atau menghadiahkan pahala melalui pembacaan al-Quran terutamanya surah yasin, zikir dan berdoa beramai-ramai yang ditujukan kepada arwah si Mati.  Mungkin persoalan ini dianggap isu yang remeh, perkara furu', masalah cabang atau ranting oleh sebahagian masyarakat awam dan dilebih-lebihkan oleh kalangan mubtadi' (مبتدع) "pembuat atau aktivis bid'ah" sehingga amalan ini tidak mahu dipersoalkam oleh pengamalnya tentang haram dan tegahannya dari Imam Syafie rahimahullah dan para ulama yang bermazhab Syafie.
                Pada hakikatnya, amalan mengirim atau menghadiahkan pahala bacaan seperti yang dinyatakan di atas adalah persoalan besar yang melibatkan akidah dan ibadah.  Wajib diketahui oleh setiap orang yang beriman bahawa masalah akidah dan ibadah tidak boleh dilakukan secara suka-suka (tanpa ada hujjah atau dalil dari Kitab Allah dan Sunnah RasulNya), tidak boleh berpandukan pada anggapan yang disangka baik lantaran ramainya masyarakat yang melakukannya, kerana Allah Subhanahu wa-Ta'ala telah memberi amaran yang tegas kepada mereka yang suka bertaqlid (meniru) perbuatan orang ramai yang tidak ada dalil atau suruhannya dari syara sebagaimana firmanNya:
وَاِنْ تُطِعْ اَكْثَرَ مَنْ فِى اْلاَرْضِ يُضِلُّوْكَ عَنْ سَبِيْلِ اللهِ اِنْ يَّتَّبِعُوْنَ اِلاَّ الظَّنَّ وَاِنْ هُمْ اِلاَّ يَخْرُصُوْنَ

"Dan jika kamu menuruti kebanyakan (majoriti) orang-orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan diri kamu dari jalan Allah.  Mereka tidak lain hanya mengikuti persangkaan belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah)".
Al-An'am, 6:116.       
            Begitu juga sesuatu amalan yang disangkakan ibadah sama ada yang dianggap wajib atau sunnah, maka ia tidak boleh ditentukan oleh akal atau hawa nafsu, antara amalan tersebut ialah amalan kenduri arwah (tahlilan atau yasinan) maka lantaran ramainya orang yang mengamalkan dan adanya unsur-unsur agama dalam amalan tersebut seperti bacaan al-Quran, zikir, doa dan sebagainya, maka kerananya dengan mudah diangkat dan dikategorikan sebagai ibadah.  Sedangkan kita hanya dihalalkan mengikut dan mengamalkan apa yang benar-benar telah disyariatkan oleh al-Quran dan as-Sunnah jika ia dianggap sebagai ibadah sebagaimana firman Allah Azza wa-Jalla:
ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيْعَةٍ مِنَ اْلاَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلاَ تَتَّبِعْ اَهْوَاءَ الَّذِيْنَ لاَ يَعْلَمُوْنَ . اَنَّهُمْ لَنْ يُّغْنُوْا عَنْكَ مِنَ اللهِ شَيْئًا

"Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan yang wajib ditaati) dalam urusan (agamamu) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (orang jahil).  Sesungguhnya mereka sekali-kali tidak akan dapat menolak diri kamu sedikitpun dari siksaan Allah".
Al-Jasiyah, 45:18-19

Setiap amalan yang dianggap ibadah jika hanya berpandukan kepada andaian mengikut perkiraan akal fikiran, perasaan, keinginan hawa nafsu atau ramainya orang yang melakukan tanpa dirujuk terlebih dahulu kepada al-Quran, as-Sunnah dan athar yang sahih untuk dinilai sama ada haram atau halal, sunnah atau bid'ah, maka perbuatan tersebut adalah suatu kesalahan (haram dan bid’ah) menurut syara sebagaimana yang dijelaskan oleh ayat di atas dan difatwakan oleh Imam Syafie rahimahullah.  Memandangkan polemik dan persoalan kenduri arwah kerapkali ditimbulkan  dan ditanyakan kepada penulis, maka ia perlu ditangani dan diselesaikan secara syarii (menurut hukum dari al-Quran dan as-Sunnah) serta fatwa para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah dari kalangan Salaf as-Soleh yang muktabar.  Dalam membincangkan isu ini pula, maka penulis tumpukan kepada kalangan para ulama dari mazhab Syafie kerana ramai mereka yang bermazhab Syafie menyangka bahawa amalan kenduri arwah, tahlilan, yasinan atau amalan mengirim pahala adalah diajarkan oleh Imam Syafie dan para ulama yang berpegang dengan mazhab Syafie
Insya-Allah, mudah-mudahan tulisan ini bukan sahaja dapat menjawab pertanyaan bagi mereka yang bertanya, malah akan sampai kepada mereka yang mempersoalkan isu ini, termasuklah mereka yang masih tersalah anggap tentang hukum sebenar kenduri arwah (tahlilan atau yasinan) menurut Ahli Sunnah wal-Jamaah.

SOLAT IKUT NABI

Oleh: Abu Numair Nawawi Subandi (11 Disember 2011)


Di antara ciri utama solat yang sempurna adalah dengan mengikuti sifat solatnya Rasulullah SAW. Kerana tatacara solat ini tidak dapat diketahui dan dipelajari melainkan dengan melihat kepada praktik solat Rasulullah. Beliau SAW bersabda, “Solatlah sebagaimana kamu melihat aku solat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 3/7, no. 595)

Bagi melaksanakan tuntutan hadis ini pada hari ini, tidak dapat tidak, kita mesti melihatnya melalui penjelasan yang disampaikan oleh hadis-hadis Rasulullah SAW yang sahih.

Pernahkah kita terfikir, “Sejauh manakah solat yang kita praktikkan pada hari ini menepati tatacara sifat solat Nabi dan para sahabatnya?” “Adakah yang kita amalkan selama ini benar-benar menepati sunnah Rasulullah?”

“Apa dalil dan landasannya?” “Kenapa adakalanya solat yang kita laksanakan berbeza dengan tatacara solat orang yang lain? Ada yang begitu, dan ada yang tidak begini?” “Kalau solat dilaksanakan begini sahkah? Apa buktinya?” “Kenapa praktik solat mazhab A berbeza dengan praktik solat Mazhab B?”



Maka, apa tindakan kita terhadap persoalan-persoalan yang ditimbulkan ini?

Sebenarnya ALLAH SWT telah memberikan jalan keluar kepada perselisihan dan keraguan ini sebagaimana firman-NYA:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah ALLAH dan taatilah Rasul (NYA), dan ulil amri di kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada ALLAH (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada ALLAH dan hari kemudian. Ini lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Surah an-Nisaa’, 4: 59)

Pada hari ini, buku-buku atau kitab-kitab yang menjelaskan tentang tatacara sifat solat Rasulullah berdasarkan hadis-hadis yang sahih telah banyak diterjemahkan dan beredar di pasaran serta boleh pula dimuat turun percuma dari internet. Inilah antara nikmat Allah kepada kita dengan memudahkan proses meraih ilmu.



Antara buku atau kitab terbaik dalam bab ini adalah seperti karya seorang ulama hadis kontemporari Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah (Wafat: 1420H). Ia telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Malaysia dan Indonesia dengan judul, Sifat Solat Nabi.

Selain itu, para pembaca juga boleh mendapatkan bantuan dari para ilmuan untuk mendapat lebih penjelasan sekiranya perkara ini sukar difahami. Adalah termasuk perintah ALLAH SWT supaya kita bertanya kepada para ulama dan orang-orang yang mengetahui tentang al-Quran dan al-Hadis apabila kita tidak mengetahuinya. ALLAH SWT berfirman, “... maka bertanyalah kepada orang-orang yang memiliki pengetahuan (tentang al-Quran dan as-Sunnah) jika kamu tidak mengetahui.” (Surah an-Nahl, 16: 43)



Termasuk kefahaman dari ayat ini juga, adalah menjadi tanggungjawab bagi para ulama dan ilmuan supaya menjelaskan dan menyampaikan ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat berdasarkan al-Qur’an dan al-Hadis. Iaitu bukan sekadar pendapat yang diada-adakan sendiri tanpa dalil yang jelas.

Tidaklah nanti praktik solat kita ini bila timbul persoalan, maka kita hanya tahu menyandarkannya kepada si fulan, ustaz fulan, dan kitab fulan. Maka kelak nanti akan timbul gejala kepuakan dan perselisihan disebabkan masing-masing melaksanakan agamanya berdasarkan idea si fulan dan tokoh si fulan. Sedangkan Rasulullah SAW meminta kita merujuk kepadanya. Dan ini tidak dapat dilakukan melainkan berdasarkan kemampuan, ilmu, dan usaha yang bersungguh-sungguh.

Dan perkara ini bersesuaian dengan wasiat para imam mazhab yang empat termasuk Imam asy-Syafii rahimahullah sendiri.

Kata Imam asy-Syafii (Wafat: 204H), “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah SAW, dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)

Jadi, apabila para ulama besar seperti imam asy-Syafii sendiri telah menyatakan demikian, maka tidak patut lagi ada alasan bagi kita untuk mengambil enteng persoalan agama ini terutamanya isu-isu berkaitan solat selaku amalan terbesar sebagai seorang Muslim. Tidak bolehlah kita hanya memberi alasan aku ikut mazhab si fulan, aku ikut mazhab imam ini, dan aku ikut ustaz si fulan. Sedangkan kita sendiri tidak mengetahui apa dalil yang menjadi pijakan kita di sebalik perbuatan mengikuti mereka.



Imam Abu Hanifah rahimahullah (Wafat: 150H) pernah menegaskan, “Tidak halal bagi seorang pun mengikuti perkataan kami apabila ia tidak tahu dari mana kami mengambil sumbernya.” (Ibn ‘Abidin, Hasyiah al-Bahri ar-Ra’iq, 4/293 – Dinukil dari Shifah ash-Sholah oleh al-Albani)

Maka, bukalah minda, tuntulah ilmu, dan perbaikilah solat-solat kita. Jangan jadikan perbezaan yang ada pada hari sebagai alat perselisihan dan medan perdebatan. Sebaliknya ambillah perbezaan dengan sikap insaf dan muhasabah diri, iaitu dengan mengembalikannya kepada dalil-dalil yang jelas, iaitu dalil-dalil yang menyatukan kita. Jadikan khazanah tinggalan imam-imam mazhab dan ilmu-ilmu para ulama silam sebagai pedoman untuk mencari pegangan yang terbaik dalam setiap perselisihan.

Pastikan sumbernya jelas, rujukannya diketahui, dan dalil-dalilnya boleh diterima pakai. Prinsip ini sekali gus membantu kita untuk mencapai kesempurnaan dalam agama bukan sekadar dalam persoalan solat, tetapi juga isu-isu yang lainnya. Insya-Allah kita akan menjadi lebih terbuka dan tenang kerana memahami pokok pangkal kepada setiap perbezaan dan permasalahan dengan jalan yang betul. Wallahualam.

KITA SOLAT IKUT SIAPA..??


Oleh: Abu Numair Nawawi Subandi (11 Disember 2011)


Cabang iman itu banyak jumlahnya. Ini sebagaimana disebutkan dalam hadis ada lebih dari enam puluh atau tujuh puluh cabang. Iman yang paling tinggi adalah memahami kalimat tauhid lailahaillallah, manakala yang paling rendah adalah menyingkirkan gangguan dari jalanan.

Di antara cabang keimanan yang paling tinggi setelah kalimat tauhid adalah mendirikan solat. Ini bersesuaian juga dengan tahapan kedudukannya dalam rukun Islam. Mendirikan solat bukan sekadar perbuatan, tetapi perlu dengan keimanan, penghayatan, perkataan, ilmu, dan kesungguhan.

Berdasarkan dalil-dalil yang sahih, ditunjukkan bahawa solat memiliki nilai kedudukan yang tinggi. Antaranya ia menjadi pembeza di antara kafir dan Islam sekali gus menunjukkan agama tidak akan tertegak jika ia ditinggalkan. Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW,

“Bahawasanya yang membezakan di antara seseorang dengan kesyirikan dan kekafiran adalah meninggalkan solat.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Iman, 1/228, no. 116)


Selain sebagai tanda keimanan dan keislaman, Allah Subhanahu wa Ta’ala juga menjadikannya termasuk di antara tanda-tanda kejayaan dan asas-asas kebahagiaan. ALLAH SWT berfirman, “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun, 23: 1-2)

Maka dari sini menunjukkan bahawa amalan solat itu amat penting kepada umat Islam. Ia menjadi nadi keimanan, tiang agama, dan asas-asas utama sebuah kejayaan.

Thursday, February 1, 2018

Amalan Khurafat Dalam Adat Istiadat Orang Melayu Islam yang masih diamalkan sekarang



Sumber: nurusakinah

catatan: Hj. Ahmad b. Hj. Che Din.
Orang Melayu kebanyakannya begitu mengambil berat dalam perkara-perkara yang berhubung dengan adat istiadat, sehingga ada pepatah Melayu yang menyatakan ” Biar Mati Anak Jangan Mati Adat “. Pepatah ini menunjukkan betapa kuat dan kukuhnya pegangan orang-orang Melayu tentang adat istiadat mereka.
Persoalannya golongan manakah yang mengada dan memperkenalkan adat istiadat dan perkara khurafat tersebut dan sejak bilakah mulanya adat istiadat dan perkara khurafat itu telah bertapak dalam masyarakat Melayu ?
Persoalan yang lebih besar dan penting ialah adakah adat-istiadat yang diamalkan oleh orang-orang Melayu itu bertepatan dan selari dengan Hukum Syarak atau bertentangan sama sekali dengan Hukum Syarak?
Amalan Khurafat ialah perbuatan atau perkara-perkara yang menyalahi hukum syarak yang masih terdapat dalam aktiviti masyarakat Melayu moden sehingga ke hari ini. Kepercayaan yang telah kuat bertapak dan berakar umbi dalam masyarakat Melayu itu seolah-olah telah menjadi satu pegangan atau tradisi yang mesti dilakukan dalm majlis-majlis atau perayaan tertentu.
Sebenarnya banyak perkara Khurafat yang dilakukan oleh masyarakat Melayu antara contohnya ialah apabila ada majlis perkahwinan dengan upacara persandingan yang seolah-olah satu kewajipan, sedangkan persandingan itu merupakan adat Hindu yang mengagung-agungkan Dewa Rama dan Dewi Sita.
Begitu juga apabila ada sesuatu kematian, dan selepas kematian mesti diadakan kenduri masuk kubur, 3 hari (makan serabai ), kenduri pecah perut pada hari ke 7, kenduri 40 hari iaitu ruh berpisah dengan waris dan kenduri 100 hari iaitu turun batu nisan dan bagi ruh itu memasuki dalam jemaahnya sebagai ahli kubur.
Kebiasaannya orang yang menghidup dan memainkan peranan utama dalam hal ehwal adat istiadat Masyarakat Melayu dan perkara-perkara Khurafat yang menyeleweng dan bertentangan dengan Syariat Islam ini adalah terdiri daripada Bomoh, Pawang, Bidan, Dukun, Guru latihan pertahanan diri, Mak Andam dan seumpamanya.

Peranan mereka dalam menghidupkan adat istiadat dan perkara Khurafat ini bergantung kepada bidang masing-masing. Antara Contoh-contoh adat istiadat dan perkara Khurafat yang sering dilakukan oleh orang-orang

Melayu sampai sekarang antaranya ialah seperti :-
a. Mendirikan Rumah Baru.
Antara Syarat dan adat Istiadat yang mesti di buat untuk mendirikan rumah baru ialah seperti mengantungkan buah kelapa muda di tiang seri rumah, menanam tahi besi / emas / perak / tembaga pada setiap tiang seri rumah dan menepung tawar sebagai upacara memulih rumah tersebut.
Acara-acara tersebut akan dilakukan oleh Bomoh, kononnya untuk mengelakkan daripada di ganggu oleh jin dan syaitan dan untuk mendapatkan kesejahteraan dan keselamatan kepada semua penghuni rumah tersebut. Sebenarnya upacara tersebut tidak lebih daripada upacara menjamu jin dan tidak ada kena mengena dengan keselamatan dan kesejahteraan penghuni rumah itu.
b. Upacara Menurunkan Perahu / Kapal yang baru ke laut.
Upacara ini di lakukan oleh Bomoh dengan harapan perahu / kapal tersebut selamat daripada gangguan hantu laut dan sebagainya semasa belayar di lautan luas. Upacara dilakukan dengan perahu itu di pulihkan dengan jampi serapah dan mentera dengan menggunakan tepung tawar dan sebagainya.
c. Kenduri Tolak Bala.
Kenduri ini dilakukan setahun sekali di tengah padang di sesebuah kampung, dengan setiap penduduk membawa sepinggan makanan. Imam di jemput untuk membaca doa dan Bomoh pula di jemput untuk membaca jampi serapah supaya kampung tersebut selamat dari bala bencana pada tahun tersebut.
Kenduri tolak bala sebenarnya boleh di buat pada bila-bila masa sahaja dan di mana-mana jua dengan syarat :-

i. Tidak bercampur antara lelaki dan perempuan yang ajnabi dalam majlis tersebut

ii. Melaksanakan kaedah-kaedah yang tidak menjadi tegahan syarak dalam majlis itu.
d. Upacara Persandingan.
Persandingan sebenarnya adalah salah satu bentuk pemujaan dalam agama Hindu di mana mempelai yang bersanding itu sebenarnya meniru adat Hindu yang memuja Dewa Rama dan Dewi Sita.

Persandingan secara ini memperlihatkan di sebelah perempuan Mak Andam sebagai pengiring utamanya dan di sebelah pihak lelaki pula Bomoh sebagai pengiringnya. Kedua-dua mempelai ini di arak dan di sanjung serta di

puja sepertimana orang-orang Hindu memuja Dewa Rama dan Dewi Sita, dengan sebab itulah pengantin baru di gelar sebagai Raja Sehari.
e. Mengandung / Kelahiran bayi
Sebelum ibu melahirkan anak, Bidan di jemput untuk mengadakan upacara lenggang perut. Semasa kelahiran bayi persiapan di buat dengan menyediakan kain kuning tujuh lapis, tilam dan bantal bewarna kuning serta pulut kuning dan putih. Duri di letakkan di bawah rumah supaya jangan di ganggu oleh hantu penanggal. Sementara pantang larang selepas bersalin pula adalah selama 45 hari.
f. Adat meninggal dunia dan selepas kematian.
Semasa seseorang meninggal dunia Bomoh akan meletakkan gunting di atas mayat semasa baru meninggal dunia. Semasa hendak menghantar mayat ke kubur diadakan pula kenduri masuk kubur, selepas 7 hari kematian, diadakan kenduri pecah perut, selepas 14 hari di adakan kenduri makan serabai ( sejenis kuih). Kenduri 40 hari sebagai tanda ruh berpisah dari waris. Kenduri 100 hari sebagai kenduri turun batu nisan dan ruh si mati telah masuk ke dalam kumpulannya di alam kubur.
Sebenarnya memperbanyakkan sedekah bacaan ayat-ayat Al-Quran dengan apa cara sekalipun, asalkan tidak menyalahi syarak dan tidak terdapat di dalamnya sesuatu yang menyalahi syarak dengan diniatkan pahala sedekah itu untuk disampaikan kepada ibu bapa yang telah mati daripada waris-warisnya yang masih hidup terutamanya anak-anak adalah digalakkan dalam Islam.
g. Upacara membuka gelanggang latihan pertahanan diri.
Upacara ini biasanya di lakukan oleh guru latihan pertahanan diri yang juga merupakan seorang Bomoh yang dilakukan supaya pelatih-pelatih latihan pertahanan diri di gelanggang tersebut tidak mendapat sebarang kecederaan semasa berlatih. Antara alat dan upacara yang di lakukan ialah seperti menyembelih seekor kambing atau ayam hitam dimana darah ayam dan kambing tersebut di semah di sekeliling gelanggang.
Sesetengahnya menyapu darah tersebut di tapak kaki pelatih latian pertahanan diri. Selepas itu Bomoh tersebut akan menyeru nama-nama panglima tertentu seperti Panglima Hitam dan sebagainya. Akhir sekali Bomoh tersebut akan mengasapkan kemian di sekeliling gelanggang dengan tujuan untuk menghalau hantu-hantu jahat daripada menghampiri gelanggang latihan pertahanan dirinya.
h. Membuang Air Kecil/Besar
Salah satu adat lagi yang sering di peringatkan oleh orang-orang tua kepada anak-anak muda mereka jika hendak membuang air semasa di dalam hutan atau di tempat-tempat yang sunyi atau di padang-padang atau ketika hendak melalui sesuatu kawasan atau pokok besar hendaklah meminta izin terlebih dahulu daripada Jin atau penunggu yang kononnya menunggu tempat tersebut dengan menyebut “Minta tabik tok nenek, anak cucu tak tahu bahasa, nak tumpang kencing” atau “Minta ampun tok nenek anak cucu nak tumpang lalu”. Kononnya jika tidak meminta izin kemungkinan orang tersebut akan di sampuk oleh penunggu tempat tersebut.

Kesemua adat-adat di atas sebenarnya adalah campuran daripada pengaruh agama Hindu, agama Buddha dan adat istiadat orang-orang Asli yang memuja roh. Adat-adat tersebut masih kuat diamalkan dalam budaya orang Melayu, yang menyangkakan sebahagian daripada adat Melayu yang tidak bertentangan dengan agama Islam, tetapi sebenarnya adat istiadat dan budaya tersebut terang-terang bertentangan dengan

Islam.

Contoh Peralatan dalam pemujaan jin Yang biasa dilakukan oleh Bomoh, Pawang dan seumpamanya.
Peralatan yang sering digunakan oleh Bomoh dalam pemujaan jin yang kononnya dikatakan sebagai salah satu upacara dalam adat istiadat Melayu yang tidak boleh ditinggalkan antaranya adalah seperti berikut :-
a. Puja Kubur.
Puja kubur adalah sebahagian daripada amalan sesetengah orang Melayu yang masih tebal dengan adat istiadat dan tradisi Melayu kuno dengan agama Hindu puja Dewa. Mereka percaya bahawa penghuni kubur itu boleh menghasilkan hajat mereka apabila di minta terutamanya apabila mereka berada di dalam kesusahan.
Kebiasaanya beberapa jenis makanan atau ” jamu ” seperti ayam panggang, bertih, pulut kuning, pisang emas dan lain-lain lagi di bawa dan diletakkan di atas kubur itu sebagai jamuan untuk penghuni kubur tersebut, sebelum meminta sesuatu hajat, yang hakikatnya adalah untuk ” jamu ” Jin . Yang jelas di sini sebenarnya mereka telah tertipu dengan permainan Jin yang mahu menyesatkan mereka.
b. Keris, Kemenyan dan Limau.
Keris sering dikaitkan dengan latihan pertahanan diri, kekuatan, kemegahan dan kemashuran. Kebiasaannya banyak daripada keluarga orang Melayu yang mempunyai atau menyimpan keris sebagai sebahagian daripada barang pusaka yang perlu di pelihara dan di jaga dengan baik. Keris tersebut perlu dimandikan dengan limau dan di asapkan dengan kemian serta di balut dengan kain kuning atau hitam dan di simpan di tempat yang selamat. Pemujaan keris ini selalunya di buat pada malam jumaat dengan bacaan mentera dan jampi-jampi tertentu.

Pemujaan itu dilakukan dengan tujuan untuk memelihara kekuatan keris tersebut, supaya penjaga (saka) keris itu tidak menggangu keluarga mereka dan sebagainya. Sebenarnya keris tersebut tidak mempunyai apa-

apa kuasa kerana ianya adalah merupakan besi semata-mata tetapi yang berperanan terhadap keris tersebut, sebenarnya adalah terdiri daripada Jin yang menjadi khadam kepada keris tersebut.
c. Ancak.
Ancak di buat daripada buluh yang hampir sama dengan sangkak. Ada juga terdapat ancak yang di buat daripada daun pisang yang di isi dengan pulut kuning, bertih, ketupat dan sebagainya.
Ancak juga di gunakan sebagai “jamu” untuk Jin keturunan atau Jin penjaga kampung supaya tidak menggangu anak cucu atau penduduk kampung tersebut pada tahun itu. Kepercayaan menjamu dengan menggunakan ancak ini masih ada sehingga ke hari ini terutamanya bagi mereka yang masih ada lagi atau berpegang dengan saka atau Tok-Nenek atau Jembalang-jembalang keturunan.
d. Sanggu
Sanggu atau sampan biasanya diperbuat daripada upih pinang atau seludang kelapa. Upih atau seludang yang digunakan mestilah yang jatuh dari pokok dalam keadaan tercacak pada pangkal pokok. Di ambil upih atau seludang itu mestilah pada waktu senja.
Waktu membuat sanggu pula mestilah pada waktu tengah malam, mengadap ke arah matahari naik dan hendaklah di asap dengan kemian dan di baca mentera atau jampi-jampi tertentu. Tujuan pemujaan Jin yang menggunakan sanggu ini kebiasaannya adalah untuk memuja Jin keturunan atau saka.
Perkakas dan alat “jamu” yang di isi di dalam sanggu ini ialah, antaranya pulut kuning, ayam panggang, bertih, beras kunyit dan sireh pinang. Di tengah-tengah sanggu itu dipacakkan layar, lilin di letakkan di hujung dan di belakang sanggu. Kemudian sanggu tersebut di layarkan sebagai jamuan bagi Jin-Jin keturunannya.
e. Sangkak

Sangkak pula di perbuat daripada buluh dengan mengikut syarat-syarat tertentu. Di atasnya diletakkan seekor ayam panggang yang telah di proses dengan syarat-syarat tertentu ataupun pulut kuning dan bertih

sebagai “jamu” bagi Jin yang dihajatinya, samada Jin keturunannya atau Jin penjaga kampung supaya jangan menggangu keluarga atau kampung tersebut pada tahun itu.
Kemian diletakkan bersebelahan dengan sangkak tersebut sebagai bauan wangi yang sangat di sukai oleh Jin yang juga menjadi syarat utama untuk memanggil Jin tersebut.

Terdapat dua cara menguna dan meletakkan sangkak ini. Jika sangkak tersebut di buat untuk keselamatan keluarga maka ianya dibuat dan diletakkan di dalam rumah dengan di ikuti oleh majlis tahlil dan

sebagainya. Jika sangkak tersebut di buat untuk menjaga kampung pula maka ianya di letakkan di tepi hutan atau di pinggir kampung dengan bacaan mentera dan jampi serapah tertentu dan kadang-kadang di sembelih pula seekor kambing atau kerbau.
f. Pemujaan Tanduk Kerbau.
Tanduk kerbau sering dijadikan bahan pemujaan oleh sesetengah kumpulan orang yang mempercayai akan kuasa yang ada padanya. Adakalanya digunakan dalam majlis-majlis tertentu seperti pertabalan pangkat atau meraikan sesuatu majlis.
Kepercayaan ini sebenarnya ada hubungan dengan kepercayaan puja Dewa bagi satu puak di Tanah Jawa, yang mempercayai adanya kuasa pada tanduk kerbau itu apabila di puja dan di sembah. (sebenarnya adalah kuasa Jin )
Pemujaan tanduk kerbau sering di aitkan dengan sesuatu keturunan. Namun apa yang jelas tanduk kerbau ini di gunakan sebagai alat pemujaan untuk menyeru Jin dan sebagai makanan atau ” jamu” kepada Jin tersebut. Tujuannya supaya Jin itu tidak menggangu kampung tersebut atau anak cucu orang yang berkenaan.
Biasanya tanduk tersebut diletakkan di atas suatu tempat tertentu, di atasnya di nyalakan lilin. Kain warna kuning atau merah di mahkotakan di bahagian kepala, sementara di sekelilingnya dihidangkan dengan kuih muih, pulut kuning, bubur merah dan lain-lain lagi. Pawang atau Bomoh akan memulakan upacara dengan membaca mentera atau jampi serapah tertentu untuk memanggil Jin berkenaan. Kadang kala apabila Jin itu datang, ia akan memasuki tubuh Pawang atau bomoh tersebut, dan bomoh itu akan bercakap sesuatu atau memberi nasihat atau amaran kepada mereka.
Ringkasnya pemujaan-pemujaan seperti yang dilakukan di atas adalah terang-terang bertentangan dengan agama Islam yang mulia dan semata-mata perkara Khurafat yang mesti kita jauhi demi keselamatan dan kebahagian hidup kita di dunia dan akhirat.

Keselamatan, kesihatan dan rezeki manusia sebenarnya telah di tentukan oleh Allah s.w.t dan bukannya bersebab dari upacara pemujaan tersebut. Hanya orang-orang yang sesat sahaja yang masih percaya kepada kuasa-kuasa pemujaan dan perkara-perkara Khurafat tersebut lah yang memberi sebab kepada

keselamatan, kesihatan dan keselamatan mereka.

KERIS LAGENDA ALAM MELAYU
Keris tidak dapat dipisahkan daripada orang Melayu. Keris merupakan lambang dalam alam latihan pertahanan diri bagi hulubalang-hulubalang dalam masyarakat Melayu sejak dari dahulu hingga kini.
Kehebatan dan kemegahan seni latihan pertahanan diri juga tidak akan teserlah tanpa penggunaan keris. Demikian juga sebahagian daripada permainan seni latihan pertahanan diri tidak akan sempurna jika tidak ada permainan keris.
Keris juga merupakan senjata utama kepada ahli-ahli latihan pertahanan diri Melayu. Tanpa keris seperti ada kecacatan pada seni latihan pertahanan diri tersebut. Sungguhpun keris tidak di bawa berjalan merata-rata pada zaman sekarang, namun ia masih lagi berfungsi sebagai mercu kemegahan seni latihan pertahanan diri tersebut, terutamanya pada saat upacara tamat latihan.

Keris juga memainkan peranan penting kepada sesetengah Bomoh, Pawang dan Dukun. Di dalam arena perubatan tradisional Melayu, keris digunakan sebagai alat perantaraan antara Jin dengan Bomoh bagi mengadakan upacara tertentu. Kadang-kala keris itu di asap dengan kemian terlebih dahulu untuk menyeru Jin yang dihajati.

Setelah beberapa ketika datanglah Jin yang di seru itu melalui Bomoh tersebut. Ada sesetengah Bomoh yang menggeletar tubuh badan mereka apabila dimasuki Jin, namun ada juga yang sampai berguling-guling dan tidak ketinggalan juga yang berkeadaan biasa apabila dimasuki oleh Jin tersebut. Setelah selesai upacara itu dan Jin tersebut telah keluar dari tubuh bomoh, maka keris tersebut akan di kucup, di asap dan disarungkan kembali ke dalam sarungnya.

Biasanya orang-orang yang terlibat dalam bidang latihan pertahanan diri dan perbomohan gemar menggunakan keris, kerana mereka mempunyai kepercayaan yang kuat kepada kuasa keris tersebut. Sesetengahnya mendakwa memperolehinya dalam mimpi, apabila bangun dari tidur,

didapatinya keris tersebut telah berada di sisinya.

Sesetengahnya pula mendapat keris tersebut setelah sekian lama bertapa di tempat-tempat tertentu. Tidak kurang juga yang memperolehinya dari warisan turun temurun dari datuk nenek mereka, yang kononnya mereka adalah warisnya dengan disyaratkan kepada mereka yang menjaga keris itu,

mestilah melakukan apa jua syarat yang diperlukan sebagai penjaga warisan keris tersebut.
Dengan memiliki keris tersebut, jadilah ia seorang Bomoh ataupun pendekar dengan bantuan Jin penjaga keris terebut. Keris itu dihormati sebagai tetamu dan di jaga dengan rapi. Sesetengahnya mengambil kesempatan pada malam Jumaat untuk mengasapkan keris tersebut dengan kemian dan dimandikan dengan sintuk dan limau nipis bagi menjaga kuasa yang ada pada keris tersebut supaya tidak hilang. Selepas itu keris tersebut di bungkus dengan kain kuning atau hitam, di kucup dan di simpan di tempat yang khas dan selamat.
Ada di antara keris-keris itu yang berbunyi pada waktu malam atau siang mengikut keadaan dan keperluan. Contohnya bila ada tetamu hendak datang atau bila ada sesuatu bencana yang akan berlaku seperti banjir, musuh akan datang menyerang dan sebagainya. Keadaan berbunyinya berbeza-beza. Ada yang keluar masuk sarung tanpa henti sehingga diberhentikan, ada juga yang berlegar-legar atau bergegar di tempatnya dan macam-macam cara lagi.
Mengikut perkiraan lojik, adakah keris itu mempunyai nyawa untuk berbunyi atau bergerak-gerak ataupun keluar masuk ke dalam sarungnya sendiri? Tetapi apa yang sebenar berlaku ialah bergeraknya keris itu adalah disebabkan oleh Jin penjaga keris itu yang mahu memberitahu sesuatu kepada tuannya.

Orang yang sebeginilah yang selalunya di anggap Tok Keramat oleh sesetengah orang. Sebenarnya bagi orang yang memiliki keris tersebut, Jin penjaga keris itu bukan lagi sebagi khadam kepada keris itu, tetapi

sebaliknya sebagai tuan kepada manusia, kerana manusia (tuan keris) itu terpaksa akur dan patuh kepada segala kehendak Jin tersebut.
Kerana itulah keris tersebut perlu di asap dan dilimaukan sebagai syarat perhubungan mereka. Jika tidak Jin itu akan menggangu tuannya atau jika tuan keris itu sudah meninggal dunia maka Jin itu akan menggangu anak-cucunya pula dengan berbagai-bagai kesusahan dan penyakit. Penyakit itulah yang dinamakan “saka” atau keturunan. Maka bagi anak cucu yang mahu membela, maka diamlah Jin tersebut dari menggangu, sementara yang tidak mahu menerima, saka Jin itu akan terus menerus menganggunya.