Tuesday, July 31, 2018

IMAM SYAFIE BENCI KENDURI ARWAH


Oleh USTAZ RASUL DAHRI


(Semoga Allah memberi berkat kepada Ustaz Rasul Dahri dan keluarganya)

Majlis kenduri arwah lebih dikenali dengan berkumpul beramai-ramai dengan hidangan jamuan (makanan) di rumah si Mati.  Kebiasaannya diadakan sama ada pada hari kematian, dihari kedua, ketiga, ketujuh, keempat puluh, keseratus, setahun dan lebih dari itu bagi mereka yang fanatik kepada kepercayaan ini atau kepada si Mati.  Malangnya mereka yang mengerjakan perbuatan ini tidak menyedari bahawa terdapat banyak fatwa-fatwa dari Imam Syafie rahimahullah dan para ulama besar dari kalangan yang bermazhab Syafie telah mengharamkan dan membid’ahkan perbuatan atau amalan yang menjadi tajuk perbincangan dalam tulisan ini.

Di dalam kitab (اعانة الطالبين) juz 2. hlm. 146, tercatit pengharaman Imam Syafie rahimahullah tentang perkara yang disebutkan di atas sebagaimana ketegasan beliau dalam fatwanya:


وَيَكْرَهُ اتِّخَاذُ الطَّعَامِ فِى الْيَوْمِ اْلاَوَّلِ وَالثَّالِث وَبَعْدَ اْلاُسْبُوْعِ وَنَقْلُ الطَّعَامِ اِلَى الْقُبُوْرِ

“Dan dilarang (ditegah/makruh) menyediakan makanan pada hari pertama kematian, hari ketiga dan seterusnnya sesudah seminggu.  Dilarang juga membawa makanan ke kuburan”.

Imam Syafie dan jumhur ulama-ulama besar (ائمة العلماء الشافعية) yang berpegang kepada mazhab Syafie, dengan berlandaskan kepada hadis-hadis sahih, mereka memfatwakan bahawa yang sewajarnya menyediakan makanan untuk keluarga si Mati adalah jiran, kerabat si Mati atau orang yang datang menziarahi mayat, bukan keluarga (ahli si Mati) sebagaimana fatwa Imam Syafie:
وَاُحِبُّ لِجِيْرَانِ الْمَيِّتِ اَوْذِيْ قَرَابَتِهِ اَنْ يَعْمَلُوْا لاَهْلِ الْمَيِّتِ فِىْ يَوْمِ يَمُوْتُ وَلَيْلَتِهِ طَعَامًا مَا يُشْبِعُهُمْ وَاِنَّ ذَلِكَ سُنَّةٌ.

“Aku suka kalau jiran si Mati atau saudara mara si Mati menyediakan makanan untuk keluarga si Mati pada hari kematian dan malamnya sehingga mengenyangkan mereka.  Sesungguhnya itulah amalan yang sunnah”.

Fatwa Imam Syafie di atas ini adalah berdasarkan hadis sahih:
قَالَ عَبْدُ اللهِ بْنِ جَعْفَرَ : لَمَّا جَاءَ نَعْيُ جَعْفَرِ حِيْنَ قُتِلَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اِصْنَعُوْا لآلِ جَعْفَرِ طَعَامًا فَقَدْ اَتَاهُمْ مَايُشْغِلُهُمْ . (حسنه الترمزى وصححه الحاكم)

 “Abdullah bin Ja’far berkata: Ketika tersebar tentang berita terbunuhnya Ja’far, Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:  Hendaklah kamu menyediakan makanan untuk keluarga Ja’far, mereka telah ditimpa keadaan yang menyebukkan (kesusahan)”. 
Dihasankan oleh at-Turmizi dan di sahihkan oleh al-Hakim.

Menurut fatwa Imam Syafie, adalah haram mengadakan kenduri arwah dengan menikmati hidangan di rumah si Mati, terutama jika si Mati termasuk keluarga yang miskin, menanggung beban hutang, meninggalkan anak-anak yatim yang masih kecil dan waris si Mati mempunyai tanggungan perbelanjaan yang besar dan ramai.  Tentunya tidak dipertikaikan bahawa makan harta anak-anak yatim hukumnya haram.  Telah dinyatakan juga di dalam kitab (اعانة الطالبين) jld. 2. hlm. 146:
وَقَالَ اَيْضًأ : وَيَكْرَهُ الضِّيَافَةُ مِنَ الطَّعَامِ مِنْ اَهْلِ الْمَيِّتِ لاَنَّهُ شَرَعَ فِى السُّرُوْرِ وَهِيَ بِدْعَةٌ

“Imam Syafie berkata lagi:  Dibenci bertetamu dengan persiapan makanan yang disediakan oleh ahli si Mati kerana ia adalah sesuatu yang keji dan ia adalah bid’ah”. 
Seterusnya di dalam kitab (اعانة الطالبين)  juz. 2. hlm. 146 – 147, Imam Syafie rahimahullah berfatwa lagi:
وِمِنَ الْبِدَعِ الْمُنْكَرَةِ الْمَكْرُوْهِ فَعْلُهُ مَا يَفْعَلُ النَّاسُ مِنَ الْوَحْشَةِ وَالْجَمْعِ وَاْلاَرْبِعِيْنَ بَلْ كَلُّ ذَلِكَ حَرَامٌ

“Dan antara bid’ah yang mungkar ialah kebiasaan orang yang melahirkan rasa kesedihannya sambil berkumpul beramai-ramai melalui upacara (kenduri arwah) dihari keempat puluh (empat pulu harinya) pada hal semuanya ini adalah haram”.

Ini bermakna mengadakan kenduri arwah (termasuk tahlilan dan yasinan beramai-ramai) dihari pertama kematian, dihari ketiga, dihari ketujuh, dihari keempat puluh, dihari keseratus, setelah setahun kematian dan dihari-hari seterusnya sebagaimana yang diamalkan oleh masyarakat Islam sekarang adalah perbuatan haram dan bid’ah menurut fatwa Imam Syafie.  Oleh itu, mereka yang mendakwa bermazhab Syafie sewajarnya menghentikan perbuatan yang haram dan bid’ah ini sebagai mematuhi wasiat imam yang agung ini.
Seterusnya terdapat dalam kitab yang sama (اعانة الطالبين) juz 2. hlm. 145-146, Mufti yang bermazhab Syafie al-Allamah Ahmad Zaini bin Dahlanrahimahullah menukil fatwa Imam Syafie yang menghukum bid’ah dan mengharamkan kenduri arwah:
وَلاَ شَكَّ اَنَّ مَنْعَ النَّاسِ مِنْ هَذِهِ الْبِدْعَةِ الْمُنْكَرَةِ فِيْهِ اِحْيَاءٌ لِلسُّنَّةِ وَاِمَاتَةٌ لِلْبِدْعَةِ وَفَتْحٌ لِكَثِيْرٍ مِنْ اَبْوَابِ الْخَيْرِ وَغَلْقٌ لِكَثِيْرٍ مِنْ اَبْوَابِ الشَّرِّ ، فَاِنَّ النَّاسَ يَتَكَلَّفُوْنَ تَكَلُّفًا كَثِيْرًا يُؤَدِّيْ اِلَى اَنْ يَكُوْنَ ذَلِكَ الصُّنْعُ مُحَرَّمًا .

“Dan tidak boleh diragukan lagi bahawa melarang (mencegah) manusia dari perbuatan bid’ah yang mungkar demi untuk menghidupkan sunnah dan mematikan (menghapuskan) bid’ah, membuka banyak pintu-pintu kebaikan dan menutup pintu-pintu keburukan dan (kalau dibiarkan bid’ah berterusan) orang-orang (awam) akan terdedah (kepada kejahatan) sehingga memaksa diri mereka melakukan perkara yang haram”.
Kenduri arwah atau lebih dikenali dewasa ini sebagai majlis tahlilan, selamatan atau yasinan, ia dilakukan juga di perkuburan terutama dihari khaul .(خول)  Amalan ini termasuk perbuatan yang amat dibenci, ditegah, diharamkan dan dibid’ahkan oleh Imam Syafie rahimahullah sebagaimana yang telah ditegaskan oleh beliau:
مَا  يَفْعَلُهُ النَّاسُ مِنَ اْلاِجْتَمَاعِ عِنْدَ اَهْلِ الْمَيِّتِ وَصُنْعِ الطَّعَامِ مِنَ الْبِدَعِ الْمُنْكَرَةِ

“Apa yang diamalkan oleh manusia dengan berkumpul dirumah keluarga si mati dan menyediakan makanan adalah termasuk perbuatan bid’ah yang mungkar”. Lihat: اعانة الطالبين juz 2 hlm. 145.
Di dalam kitab fikh (حاشية القليوبي) juz. 1 hlm. 353 atau di kitab  قليوبى - عميرة) -(حاشيتان  juz. 1 hlm. 414 dapat dinukil ketegasan Imam ar-Ramlirahimahullah yang mana beliau berkata:
قَالَ شَيْخُنَا الرَّمْلِى : وَمِنَ الْبِدَعِ الْمُنْكَرَةِ الْمَكْرُوْهِ فِعْلُهَا كَمَا فِى الرَّوْضَةِ مَا يَفْعَلُهُ النَّاسُ مِمَّا يُسَمَّى الْكِفَارَةَ وَمِنْ صُنْعِ طَعَامِ للاِجْتَمَاعِ عَلَيْهِ قَبْلَ الْمَوْتِ اَوْبَعِدَهُ وَمِنَ الذَّبْحِ عَلَى الْقُبُوْرِ ، بَلْ كُلُّ ذَلِكَ حَرَامٌ اِنْ كَانَ مِنْ مَالٍ مَحْجُوْرٍ وَلَوْ مِنَ التَّركَةِ ، اَوْ مِنْ مَالِ مَيِّتٍ عَلَيْهِ دَيْنٌ وَتَرَتَّبَ عَلَيْهِ ضَرَرٌ اَوْ نَحْوُ ذَلِكَ.

 “Telah berkata Syeikh kita ar-Ramli:  Antara perbuatan bid’ah yang mungkar jika dikerjakan ialah sebagaimana yang dijelaskan di dalam kitab “Ar-Raudah” iaitu mengerjakan amalan yang disebut “kaffarah” secara menghidangkan makanan agar dapat berkumpul di rumah si Mati sama sebelum atau sesudah kematian, termasuklah (bid’ah yang mungkar) penyembelihan untuk si Mati, malah yang demikian itu semuanya haram terutama jika sekiranya dari harta yang masih dipersengketakan walau sudah ditinggalkan oleh si Mati atau harta yang masih dalam hutang (belum dilunas) atau seumpamanya”.

Di dalam kitab (الفقه على المذاهب الاربعة)  jld.1 hlm. 539, ada dijelaskan bahawa:
وَمِنَ الْبِدَعِ الْمَكْرُوْهَةِ مَا يَفْعَلُ الآن مِنْ ذَبْحِ الذَّبَائِحَ عِنْدَ خُرُوْجِ الْمَيِّتِ اَوْ عِنْدَ الْقَبْرِ وَاِعْدَادِ الطَّعَامِ مِمَّنْ يَجْتَمِعُ لِتَّعْزِيَةِ .

 “Termasuk bid’ah yang dibenci ialah apa yang menjadi amalan orang sekarang, iaitu menyembelih beberapa sembelihan ketika si Mati telah keluar dari rumah (telah dikebumikan).  Ada yang melakukan sehingga kekuburan atau menyediakan makanan kepada sesiapa yang datang berkumpul untuk takziyah”.
Kenduri arwah pada hakikatnya lebih merupakan tradisi dan kepercayaan untuk mengirim pahala bacaan fatihah atau menghadiahkan pahala melalui pembacaan al-Quran terutamanya surah yasin, zikir dan berdoa beramai-ramai yang ditujukan kepada arwah si Mati.  Mungkin persoalan ini dianggap isu yang remeh, perkara furu', masalah cabang atau ranting oleh sebahagian masyarakat awam dan dilebih-lebihkan oleh kalangan mubtadi' (مبتدع) "pembuat atau aktivis bid'ah" sehingga amalan ini tidak mahu dipersoalkam oleh pengamalnya tentang haram dan tegahannya dari Imam Syafie rahimahullah dan para ulama yang bermazhab Syafie.
                Pada hakikatnya, amalan mengirim atau menghadiahkan pahala bacaan seperti yang dinyatakan di atas adalah persoalan besar yang melibatkan akidah dan ibadah.  Wajib diketahui oleh setiap orang yang beriman bahawa masalah akidah dan ibadah tidak boleh dilakukan secara suka-suka (tanpa ada hujjah atau dalil dari Kitab Allah dan Sunnah RasulNya), tidak boleh berpandukan pada anggapan yang disangka baik lantaran ramainya masyarakat yang melakukannya, kerana Allah Subhanahu wa-Ta'ala telah memberi amaran yang tegas kepada mereka yang suka bertaqlid (meniru) perbuatan orang ramai yang tidak ada dalil atau suruhannya dari syara sebagaimana firmanNya:
وَاِنْ تُطِعْ اَكْثَرَ مَنْ فِى اْلاَرْضِ يُضِلُّوْكَ عَنْ سَبِيْلِ اللهِ اِنْ يَّتَّبِعُوْنَ اِلاَّ الظَّنَّ وَاِنْ هُمْ اِلاَّ يَخْرُصُوْنَ

"Dan jika kamu menuruti kebanyakan (majoriti) orang-orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan diri kamu dari jalan Allah.  Mereka tidak lain hanya mengikuti persangkaan belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah)".
Al-An'am, 6:116.       
            Begitu juga sesuatu amalan yang disangkakan ibadah sama ada yang dianggap wajib atau sunnah, maka ia tidak boleh ditentukan oleh akal atau hawa nafsu, antara amalan tersebut ialah amalan kenduri arwah (tahlilan atau yasinan) maka lantaran ramainya orang yang mengamalkan dan adanya unsur-unsur agama dalam amalan tersebut seperti bacaan al-Quran, zikir, doa dan sebagainya, maka kerananya dengan mudah diangkat dan dikategorikan sebagai ibadah.  Sedangkan kita hanya dihalalkan mengikut dan mengamalkan apa yang benar-benar telah disyariatkan oleh al-Quran dan as-Sunnah jika ia dianggap sebagai ibadah sebagaimana firman Allah Azza wa-Jalla:
ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيْعَةٍ مِنَ اْلاَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلاَ تَتَّبِعْ اَهْوَاءَ الَّذِيْنَ لاَ يَعْلَمُوْنَ . اَنَّهُمْ لَنْ يُّغْنُوْا عَنْكَ مِنَ اللهِ شَيْئًا

"Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan yang wajib ditaati) dalam urusan (agamamu) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (orang jahil).  Sesungguhnya mereka sekali-kali tidak akan dapat menolak diri kamu sedikitpun dari siksaan Allah".
Al-Jasiyah, 45:18-19

Setiap amalan yang dianggap ibadah jika hanya berpandukan kepada andaian mengikut perkiraan akal fikiran, perasaan, keinginan hawa nafsu atau ramainya orang yang melakukan tanpa dirujuk terlebih dahulu kepada al-Quran, as-Sunnah dan athar yang sahih untuk dinilai sama ada haram atau halal, sunnah atau bid'ah, maka perbuatan tersebut adalah suatu kesalahan (haram dan bid’ah) menurut syara sebagaimana yang dijelaskan oleh ayat di atas dan difatwakan oleh Imam Syafie rahimahullah.  Memandangkan polemik dan persoalan kenduri arwah kerapkali ditimbulkan  dan ditanyakan kepada penulis, maka ia perlu ditangani dan diselesaikan secara syarii (menurut hukum dari al-Quran dan as-Sunnah) serta fatwa para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah dari kalangan Salaf as-Soleh yang muktabar.  Dalam membincangkan isu ini pula, maka penulis tumpukan kepada kalangan para ulama dari mazhab Syafie kerana ramai mereka yang bermazhab Syafie menyangka bahawa amalan kenduri arwah, tahlilan, yasinan atau amalan mengirim pahala adalah diajarkan oleh Imam Syafie dan para ulama yang berpegang dengan mazhab Syafie
Insya-Allah, mudah-mudahan tulisan ini bukan sahaja dapat menjawab pertanyaan bagi mereka yang bertanya, malah akan sampai kepada mereka yang mempersoalkan isu ini, termasuklah mereka yang masih tersalah anggap tentang hukum sebenar kenduri arwah (tahlilan atau yasinan) menurut Ahli Sunnah wal-Jamaah.

SOLAT IKUT NABI

Oleh: Abu Numair Nawawi Subandi (11 Disember 2011)


Di antara ciri utama solat yang sempurna adalah dengan mengikuti sifat solatnya Rasulullah SAW. Kerana tatacara solat ini tidak dapat diketahui dan dipelajari melainkan dengan melihat kepada praktik solat Rasulullah. Beliau SAW bersabda, “Solatlah sebagaimana kamu melihat aku solat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 3/7, no. 595)

Bagi melaksanakan tuntutan hadis ini pada hari ini, tidak dapat tidak, kita mesti melihatnya melalui penjelasan yang disampaikan oleh hadis-hadis Rasulullah SAW yang sahih.

Pernahkah kita terfikir, “Sejauh manakah solat yang kita praktikkan pada hari ini menepati tatacara sifat solat Nabi dan para sahabatnya?” “Adakah yang kita amalkan selama ini benar-benar menepati sunnah Rasulullah?”

“Apa dalil dan landasannya?” “Kenapa adakalanya solat yang kita laksanakan berbeza dengan tatacara solat orang yang lain? Ada yang begitu, dan ada yang tidak begini?” “Kalau solat dilaksanakan begini sahkah? Apa buktinya?” “Kenapa praktik solat mazhab A berbeza dengan praktik solat Mazhab B?”



Maka, apa tindakan kita terhadap persoalan-persoalan yang ditimbulkan ini?

Sebenarnya ALLAH SWT telah memberikan jalan keluar kepada perselisihan dan keraguan ini sebagaimana firman-NYA:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah ALLAH dan taatilah Rasul (NYA), dan ulil amri di kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada ALLAH (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada ALLAH dan hari kemudian. Ini lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Surah an-Nisaa’, 4: 59)

Pada hari ini, buku-buku atau kitab-kitab yang menjelaskan tentang tatacara sifat solat Rasulullah berdasarkan hadis-hadis yang sahih telah banyak diterjemahkan dan beredar di pasaran serta boleh pula dimuat turun percuma dari internet. Inilah antara nikmat Allah kepada kita dengan memudahkan proses meraih ilmu.



Antara buku atau kitab terbaik dalam bab ini adalah seperti karya seorang ulama hadis kontemporari Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah (Wafat: 1420H). Ia telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Malaysia dan Indonesia dengan judul, Sifat Solat Nabi.

Selain itu, para pembaca juga boleh mendapatkan bantuan dari para ilmuan untuk mendapat lebih penjelasan sekiranya perkara ini sukar difahami. Adalah termasuk perintah ALLAH SWT supaya kita bertanya kepada para ulama dan orang-orang yang mengetahui tentang al-Quran dan al-Hadis apabila kita tidak mengetahuinya. ALLAH SWT berfirman, “... maka bertanyalah kepada orang-orang yang memiliki pengetahuan (tentang al-Quran dan as-Sunnah) jika kamu tidak mengetahui.” (Surah an-Nahl, 16: 43)



Termasuk kefahaman dari ayat ini juga, adalah menjadi tanggungjawab bagi para ulama dan ilmuan supaya menjelaskan dan menyampaikan ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat berdasarkan al-Qur’an dan al-Hadis. Iaitu bukan sekadar pendapat yang diada-adakan sendiri tanpa dalil yang jelas.

Tidaklah nanti praktik solat kita ini bila timbul persoalan, maka kita hanya tahu menyandarkannya kepada si fulan, ustaz fulan, dan kitab fulan. Maka kelak nanti akan timbul gejala kepuakan dan perselisihan disebabkan masing-masing melaksanakan agamanya berdasarkan idea si fulan dan tokoh si fulan. Sedangkan Rasulullah SAW meminta kita merujuk kepadanya. Dan ini tidak dapat dilakukan melainkan berdasarkan kemampuan, ilmu, dan usaha yang bersungguh-sungguh.

Dan perkara ini bersesuaian dengan wasiat para imam mazhab yang empat termasuk Imam asy-Syafii rahimahullah sendiri.

Kata Imam asy-Syafii (Wafat: 204H), “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah SAW, dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)

Jadi, apabila para ulama besar seperti imam asy-Syafii sendiri telah menyatakan demikian, maka tidak patut lagi ada alasan bagi kita untuk mengambil enteng persoalan agama ini terutamanya isu-isu berkaitan solat selaku amalan terbesar sebagai seorang Muslim. Tidak bolehlah kita hanya memberi alasan aku ikut mazhab si fulan, aku ikut mazhab imam ini, dan aku ikut ustaz si fulan. Sedangkan kita sendiri tidak mengetahui apa dalil yang menjadi pijakan kita di sebalik perbuatan mengikuti mereka.



Imam Abu Hanifah rahimahullah (Wafat: 150H) pernah menegaskan, “Tidak halal bagi seorang pun mengikuti perkataan kami apabila ia tidak tahu dari mana kami mengambil sumbernya.” (Ibn ‘Abidin, Hasyiah al-Bahri ar-Ra’iq, 4/293 – Dinukil dari Shifah ash-Sholah oleh al-Albani)

Maka, bukalah minda, tuntulah ilmu, dan perbaikilah solat-solat kita. Jangan jadikan perbezaan yang ada pada hari sebagai alat perselisihan dan medan perdebatan. Sebaliknya ambillah perbezaan dengan sikap insaf dan muhasabah diri, iaitu dengan mengembalikannya kepada dalil-dalil yang jelas, iaitu dalil-dalil yang menyatukan kita. Jadikan khazanah tinggalan imam-imam mazhab dan ilmu-ilmu para ulama silam sebagai pedoman untuk mencari pegangan yang terbaik dalam setiap perselisihan.

Pastikan sumbernya jelas, rujukannya diketahui, dan dalil-dalilnya boleh diterima pakai. Prinsip ini sekali gus membantu kita untuk mencapai kesempurnaan dalam agama bukan sekadar dalam persoalan solat, tetapi juga isu-isu yang lainnya. Insya-Allah kita akan menjadi lebih terbuka dan tenang kerana memahami pokok pangkal kepada setiap perbezaan dan permasalahan dengan jalan yang betul. Wallahualam.

KITA SOLAT IKUT SIAPA..??


Oleh: Abu Numair Nawawi Subandi (11 Disember 2011)


Cabang iman itu banyak jumlahnya. Ini sebagaimana disebutkan dalam hadis ada lebih dari enam puluh atau tujuh puluh cabang. Iman yang paling tinggi adalah memahami kalimat tauhid lailahaillallah, manakala yang paling rendah adalah menyingkirkan gangguan dari jalanan.

Di antara cabang keimanan yang paling tinggi setelah kalimat tauhid adalah mendirikan solat. Ini bersesuaian juga dengan tahapan kedudukannya dalam rukun Islam. Mendirikan solat bukan sekadar perbuatan, tetapi perlu dengan keimanan, penghayatan, perkataan, ilmu, dan kesungguhan.

Berdasarkan dalil-dalil yang sahih, ditunjukkan bahawa solat memiliki nilai kedudukan yang tinggi. Antaranya ia menjadi pembeza di antara kafir dan Islam sekali gus menunjukkan agama tidak akan tertegak jika ia ditinggalkan. Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW,

“Bahawasanya yang membezakan di antara seseorang dengan kesyirikan dan kekafiran adalah meninggalkan solat.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Iman, 1/228, no. 116)


Selain sebagai tanda keimanan dan keislaman, Allah Subhanahu wa Ta’ala juga menjadikannya termasuk di antara tanda-tanda kejayaan dan asas-asas kebahagiaan. ALLAH SWT berfirman, “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun, 23: 1-2)

Maka dari sini menunjukkan bahawa amalan solat itu amat penting kepada umat Islam. Ia menjadi nadi keimanan, tiang agama, dan asas-asas utama sebuah kejayaan.